Lanskap Suci

Hutan Hujan berkabus di Gerik, Perak
Hutan Hujan berkabus di Gerik, Perak

Lanskap Suci

Ketika kami menyusuri Sungai Pahang yang keruh, di sekeliling kami adalah pemandangan hijau yang tidak berpenghujung. Hutan kelihatan tidak tersentuh, berselerak dengan pokok Tualang yang mematung.

Akhirnya, kami sampai di sebuah bukit dengan pemandangan hutan yang cukup indah. Melalui tingkap kereta, jelas kelihatan susunan pokok di sepanjang jalan, menuju ke dalam hutan kira-kira 3km. Selain daripada kawasan tersebut, terdapat hamparan tumbuh-tumbuhan yang luas, yang kelihatan asing kepada hutan di sini. Semasa kami meneruskan perjalanan, tumbuh-tumbuhan asing dan homogen ini mengambil alih pemandangan kami.

Ekosistem kini berubah. Kini terdapat pula ladang kelapa sawit.

Dari bandar Chenor, sekitar satu setengah jam diperlukan untuk sampai ke Kampung Ulu Gumum 1. Ia merupakan salah sebuah kampung Orang Asli di mana rakan kongsi Yayasan Hasanah (Hasanah), iaitu Yayasan Kajian dan Pembangunan Masyarakat (YKPM), menjalankan projek ladang sayur organik bersama-sama dengan masyarakat Jakun sejak awal 2019 lagi. 

YKPM berkerjasama dengan Orang Asli sejak 1983 lagi. Selama bertahun-tahun ini, mereka menyedari bahawa terdapat cabaran untuk bekerja dengan pelbagai masyarakat Orang Asli secara serentak disebabkan banyak masalah yang mereka hadapi. "Kami hanya melakukan apa yang termampu sahaja untuk membantu mereka, dengan pasukan kecil yang kami ada. Akhirnya kami memutuskan untuk memberi fokus kepada satu komuniti pada satu masa. " kata Kon Onn Sein, Pengarah Eksekutif YKPM.

Di ladang tersebut, 4 wanita sibuk memilih sayur-sayuran segar untuk dibungkus dan dihantar ke pasar raya besar di Kuala Lumpur. Tanaman rosak dipisahkan untuk dijadikan kompos, yang kemudiannya akan digunakan untuk memastikan tanah pertanian tetap sihat dan penuh dengan nutrien.

Di luar pondok terdapat ladang yang subur terdiri daripada jagung, mulberi, bayam daripada pelbagai jenis, okra dan banyak lagi. 

Sebelum ini, ia tidak seperti ini. Dengan konflik yang tidak pernah berakhir dalam isu hak tanah antara Orang Asli dan negeri, kawasan hutan yang semakin berkurang memaksa mereka mengubah gaya hidup mereka daripada kumpulan pemburu menjadi petani. Sumber untuk tempat tinggal, kelangsungan hidup dan mata pencarian mereka semakin parah, seiring dengan identiti mereka.

Diasak dengan kemiskinan, masyarakat di sini pada awalnya terpaksa melapangkan hutan di sekitar mereka untuk menanam tanaman komersial seperti getah dan kelapa sawit secara kecil-kecilan. Mendapat bayaran yang rendah disebabkan penglibatan orang tengah menjadikan hidup mereka sangat sukar, namun, mereka turutkan jua asalkan dapat meletakkan makanan di atas meja dan membayar pendidikan anak-anak.

Penduduk kampung juga berusaha menanam sayur-sayuran di halaman depan rumah mereka sebagai sumber pendapatan. Ini sekali lagi merupakan usaha yang sukar kerana hasilnya tidak banyak terjual, ditambah pula dengan pengetahuan tentang pertanian yang cetek, bukan mudah untuk terus menanam tanaman yang terus menerus dihancurkan oleh perosak.  

YKPM ingin bekerjasama dengan masyarakat Jakun untuk menyediakan sumber pendapatan yang stabil, dan seterusnya membatasi keperluan mereka menebang pokok-pokok hutan untuk tanaman komersial. Oleh kerana masyarakat ini berminat dalam pertanian, YKPM bermula dengan mendorong minat mereka dan menyokong mereka dengan membawa pakar pertanian organik untuk melatih para petani dan memberikan akses untuk memasarkan hasil mereka.

Kak Nor, berusia 40-an, merupakan salah seorang peserta projek YKPM. Beliau juga merupakan salah seorang petani yang gigih sejak awal lagi, yang terus berusaha walaupun menghadapi banyak cabaran. 

Akses ke harga pasaran yang adil adalah satu cabaran yang berjaya dilalui oleh YKPM dan kini 32 petani dapat memperoleh pendapatan sehingga RM 1,200 sebulan. "Kerugian kita terlalu banyak sebelumnya kerana ada orang tengah yang terlibat. Sekarang kita boleh menggandakan jumlah pendapatan yang biasa kita dapat ”, kata Kak Nor. Ini adalah kek ceri ketika Jaya Grocer, francais pasar raya utama, bersetuju untuk mengambil produk mereka.

Usaha pertanian organik mula membuahkan hasil kerana kampung Orang Asli yang berdekatan, Kampung Melai, juga berminat untuk mengambil inisiatif mereka sendiri untuk bertani dan meminta YKPM membawa mereka menyertai projek tersebut. 

“Ketika penduduk kampung dari Kampung Melai melihat ladang kami, mereka merasa ingin tahu dan berminat. Mereka juga mahu memiliki ladang mereka sendiri. Kami memberi mereka beberapa anak benih untuk mereka mencuba dan menanam tanaman di kampung mereka”, kata Kak Nor dengan bangga. 

Kak Nor dan rakan-rakannya menerima banyak cabaran ketika projek ini ketika pertama kali dimulakan namun masyarakat tidak sabar-sabar untuk belajar. YKPM membawa pakar pertanian organik untuk meningkatkan kemahiran masyarakat. 

"Ketika ahli pakar datang, kami memahami mengapa beberapa sayuran yang kami tanam sebelum ini tidak menjadi. Kami juga belajar bagaimana menyingkirkan makhluk kecil yang memakan tanaman kami menggunakan racun perosak semula jadi, ” kata Kak Nor. Kata-kata "Organically Grown" tertera pada setiap label sayur-sayuran.

Sebuah lori sarat dengan berbakul-bakul sayur-sayuran. Siap sedia untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

Terdapat tanda kejayaan projek ini tetapi bukanlah untuk hutan kerana Kak Nor teringat pada zaman kegemilangannya. “Dahulu, ketika kami memerlukan makanan, kami akan memasuki hutan untuk mencari sesuatu untuk dimakan. Tetapi sekarang, tidak ada lagi yang tersisa. Sekarang, kami hanya pergi ke hutan untuk mengumpul ramuan untuk perubatan,” kata Kak Nor. 

Hutan adalah landskap suci bagi Orang Asli pada umumnya tetapi apabila makanan hampir habis dan tanah mereka berisiko diambil jika dibiarkan kosong, pilihan adalah terhad buat mereka. Kekurangan akses yang cukup untuk tempat tinggal, makanan, air bersih dan dana untuk pendidikan anak-anak memaksa merekamenggunakan tanah yang ada di sekitar mereka untuk memenuhi keperluan. Bagi masyarakat di sini, pembersihan hutan untuk tanaman komersial merupakan satu perlumbaan, sebelum kedatangan YKPM.

Sekiranya seseorang berjalan di Kampung Ulu Gumum 1 hari ini, sukar untuk mengetahui bahawa masyarakat di sini adalah Orang Asli, memandangkan mereka tinggal di rumah yang agak moden, memakai pakaian yang sama dengan mereka yang ada di bandar, dan telefon pintar sentiasa di tangan mereka, terutamanya golongan muda.

Walaupun kemodenan wujud di sini, Kak Nor menyatakan bahawa mereka masih mengamalkan tradisi mereka kerana identiti mereka sebagai masyarakat Jakun adalah penting. Hanya hubungan integral dengan hutan sahaja yang kian layu. 

Awal perbualan kami, Kak Nor teringat hari-hari mudanya di mana dia dapat memasuki hutan. Saya dapat melihat kegembiraan di matanya. "Pada awal tahun 90an ketika hutan masih tebal, saya telah melihat binatang buas...harimau, rusa, sebut saja.” Sekarang berbeza katanya.

Orang Jakun memandang hutan sebagai pemandangan yang berada di luar komoditi. Mereka telah menetapkan satu set etika persekitaran dari pengetahuan tradisional untuk memastikan amalan untuk mengelakkan hutan terus dieksploitasi. Ambil apa yang anda perlukan, bukan apa yang anda mahukan. Itulah prinsip dasarnya.

Ketika perbualan saya dengan Kak Nor berakhir, ada sekejap keheningan di antara kami ketika kami memerhatikan tiga lelaki memindahkan beberapa bakul sayur terakhir ke dalam lori. "Dari semasa ke semasa saya teringatkan hutan dan saya merindukannya. Ini rumah saya… ”, kata Kak Nor, memecah kesunyian.

Kisah Alam Sekitar Lain

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay