NGO tempatan berkongsi strategi lestari bagi membantu golongan memerlukan

NGO tempatan berkongsi strategi lestari bagi membantu golongan memerlukan

Menguruskan organisasi sosial memerlukan ketabahan, dedikasi, kerja keras - dan yang paling penting, model operasi yang lestari.

Walaupun ramai yang baik hati ingin menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, terdapat cabaran dalam mengekalkan usaha tidak pentingkan diri sebegini untuk jangka masa panjang.

Lima personaliti utama yang terdapat dalam sektor tidak berasaskan keuntungan di Malaysia telah dikumpulkan baru-baru ini untuk perbincangan meja bulat di Menara Star bagi berkongsi pengalaman mereka mengenai cabaran kelestarian yang dihadapi oleh organisasi sosial.

Antara ahli panel perbincangan tersebut ialah Presiden, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail; Ketua, Yayasan Gamuda, Sharifah Alauyah Wan Othman; Pengarah Urusan, Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari; Pengarah Urusan, NGOhub, Chun Wah Hoo dan Pengarah Program, Social Inclusion and Vibrant Entrepreneurship Malaysia di bawah MaGIC merangkap Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid.

Dimoderasikan oleh Penyelaras Dasar, Advokasi dan Penyelidikan,Malaysian Care, Santha Oorjitham, perbincangan tersebut berkisar tentang bagaimana organisasi sosial dapat bertahan dari segi kewangan, dan bagaimana menyeimbangkannya dengan keperluan para penerima manfaat.

Perbincangan meja bulat tersebut telah diadakan sempena kempen Star Golden Hearts Award (SGHA) edisi ke-5, satu anugerah tahunan oleh The Star, yang disokong oleh Yayasan Gamuda, untuk meraikan dan menghargai wira-wira Malaysia yang kurang dikenali.

Sejak tahun 2015, anugerah ini diberikan kepada 10 pemenang yang layak setiap tahun - sama ada individu, organisasi tidak berasaskan keuntungan dan perusahaan sosial - atas usaha tidak mementingkan diri yang telah dilaksanakan untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Yasmin, apakah cabaran dalam membina perusahaan sosial yang lestari dan secara ringkas, terangkan mengenai ekosistem MaGIC dalam menyokong pembangunan perusahaan sosial di negara ini?

Yasmin: Boleh dikatakan, EcoKnights kini merupakan NGO hibrid. Dari segi undang-undang dan perlembagaan, kami adalah sebuah organisasi bukan kerajaan, namun, bagaimana kami menguruskan dan membiayai organisasi ini adalah berdasarkan model keusahawanan sosial. Pada masa lalu, 80% daripada pembiayaan organisasi bergantung kepada pemberian geran dan sumbangan kutipan danadaripadaCSR. Hari ini, jumlah tersebut telah berkurang kepada kira-kira 15%.

Saya melihat keusahawanan sosial sebagai jalan yang lebih positif kerana salah satu elemen penting dalam menjalankan perusahaan sosial (SE) adalah, anda masih lagi sebuah perniagaan. Anda perlu mendapatkan keuntungan. Anda perlu mempunyai kewangan yang kukuh untuk berbuat baik kepada orang lain.

Bagaimana seseorang mendefinisikan SE? Sesiapa sahaja boleh mengatakan bahawa mereka adalah SE. MaGIC bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan, dan garis panduan keusahawanan sosial telah dilancarkan pada 12 April. Buat pertama kalinya, setelah sekian lama, akhirnya kami mempunyai definisi SE yang tepat.

Dr Ahmad, MNS adalah salah satu NGO tertua di Malaysia. Bagaimanakah ia mengekalkan sokongan yang berterusan selama bertahun-tahun?

Dr Ahmad: Kami akan menyambut ulang tahun ke-80 MNS pada tahun hadapan. Mengapa kami dapat kekal (organisasi) sehingga ke hari ini adalah disebabkan kami mempunyai visi yang jelas. Kami mahu melindungi, memulihara dan menguruskan alam semula jadi. Kelestarian bukan hanya untuk menghasilkan wang, tetapi untuk membuatkan masyarakat percaya kepada anda.

Untuk mendapatkan pembiayaan memang mudah. Apabila orang mempercayai anda, mereka pasti ingin menyumbang. Sebagai contoh, ketika saya ingin membangunkan program sukarelawan di Zoo Negara untuk sekolah, saya menyatakan hasrat tersebut dan ramai ibu bapa telah memberi sumbangan untuk program tersebut. Terdapat juga banyak sektor swasta yang sentiasa menyokong kami. Pelbagai pihak terus memberi kami pelbagai kerja-kerja dalam menyokong misi mereka, contohnya program CSR.

Langkah Pertama ke hadapan adalah pendidikan. Kami bernasib baik kerana mempunyai Kelab Pencinta Alam di hampir 500 buah sekolah yang bersama kami. Sepanjang tahun persekolahan, kami mempunyai banyak aktiviti, yang diadakan hampir setiap minggu. Di peringkat universiti, kami mempunyai Kelab Pencinta Alam Youth. Kami ingin membawa sukarelawan yang kami bangunkan di peringkat sekolah. Melalui kelab tersebut, mereka kembali ke MNS dan menjadi fasilitator atau berkolaborasi dengan sekolah mereka sebelum ini.

Chun, apakah pendapat anda mengenai tahap kesedaran dan kesediaan NGO Malaysia untuk berdiri sendiri tanpa terlalu bergantung pada sokongan luar?

Chun: Pada perspektif saya, tidak ada satu cara tertentu sahaja untuk mencapai kelestarian. Selalunya, ianya melibatkan campuran pelbagai cara yang sesuai untuk anda dan organisasi anda.

Kita mempunyai organisasi-organisasi yang bergantung kepada penderma dan kadang kala, ianya berhasil untuk mereka. Sekiranya anda melihat kepada sejarah yang telah dilakukan oleh MNS, mereka telah membina asas sokongan yang kuat. Sekiranya anda melihat organisasi bantuan bencana, mereka sangat bergantung kepada sumbangan. Seterusnya, ada juga organisasi yang memerlukan pasukan untuk mengendalikan pelbagai projek. Mereka mungkin perlu mencipta peluang perniagaan untuk mengekalkan operasi mereka.

Tinjauan yang kami lakukan beberapa tahun lalu mendapati 60% (NGO di Malaysia) mempunyai 10 kakitangan atau kurang. Sebilangannya terletak di bandar kecil, kadang-kala anda tidak pernah dengar tentang NGO-NGO ini. Mereka menyelesaikan masalah tempatan. Mereka dapat bertahan secara lestari dengan cara yang berbeza, jika anda membandingkannya dengan organisasi yang lebih besar.

Masa boleh berubah, bagaimana tingkah laku orang dalam menyokong organisasi sosial juga berubah. Kini, terdapat begitu banyak teknologi yang dapat membantu sesebuah NGO.

Tahun lalu, kami melancarkan platform pendanaan orang ramai. NGO di Malaysia menganggapnya sebagai cabaran untuk mempelajari kemahiran ini. Kami menyedari bahawa NGO yang berbeza mempunyai kekuatan yang berbeza, dan anda bermula di mana sahaja anda berada. Mesej kami kepada NGO adalah jangan menggunakan satu kaedah sahaja.

Shahira, apakah kriteria utama yang dicari oleh Yayasan Hasanah dalam memilih rakan kongsi dan bagaimanakah yayasan anda bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan kelestarian projek anda?

Shahira: Yayasan Hasanah memberikan geran setahun sekali. Kami bekerjasama dengan kira-kira 54 rakan kongsi sejak tahun 2015. Kami telah menyokong lebih 75 projek di negara ini. Bagaimanakah kami memberikan geran? Pertama sekali, NGO mestilah menepati lima bidang tumpuan - pendidikan, komuniti, alam sekitar, seni atau penyelidikan atau pengetahuan. Matlamat kami adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), maka kami hendaklah memastikan bahawa projek yang kami sokong menepati aspirasi SDG. Kami melihat bagaimana kami dapat melibatkan masyarakat dalam merancang sesebuah projek, supaya apabila kami mengundurkan diri, terdapatkelestarian untuk projek tersebut.

Kedua-dua penderma dan rakan kongsi perlu memberi tumpuan kepada penerima manfaat. Kedengaran seperti mudah, namun ianya membantu dalam membuat keputusan. Anda perlu lihat bagaimana penerima manfaat boleh mendapat atau hilang manfaat disebabkan tindakan tertentu mereka.

Kami juga melihat kemampuan untuk projek tersebut diukur. Kami juga mempunyai kriteria asas tadbir urus. Sekiranya NGO ingin mendapatkan geran tersebut, mereka perlu memberikan penyata kewangan yang telah diaudit. Kami menyokong entiti yang telah beroperasi lebih dua tahun, dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan Pendaftar Syarikat.

Sharifah, bagaimanakah Yayasan Gamuda menentukan kelestarian dari sudut pandangan CSR dan bolehkah anda berkongsi contoh projek yang telah menunjukkan amalan kelestarian yang baik?

Sharifah: Yayasan Gamuda bermula pada tahun 2016 untuk menempatkan semua program amal kami di bawah satu bumbung. Fokus utama kami ialah penambahbaikan dalam pendidikan dan masyarakat. Yayasan ini menyokong pelbagai projek komuniti yang dapat memastikan hasil yang bermakna dan lestari untuk para penerima manfaat.

Kami mempunyai enam kriteria dalam prinsip panduan kami. Salah satu daripadanya adalah memastikan agar projek-projek tersebut bersifat transformatif, supaya kita dapat meningkatkan diri penerima-penerima manfaat ini dengan perubahan yang nyata dan efektif. Projek tersebut juga haruslah bersifat memperkasakan dan lestari supaya para penerima manfaat dapat berdikari dan mempunyai kemampuan mengendalikan nasib mereka sendiri dan meneruskan usaha yang dijalankan. Inklusiviti juga merupakan kriteria yang turut diberi perhatian, supaya seluruh komuniti boleh memperoleh sesuatu daripada projek yang dilaksanakan.

Ia bukan sekadar memberi dana, kami juga berharap untuk memberi tumpuan dalam membina perbezaan yang bermakna dan menyokong entiti yang diberi dana. Kami ingin menjalin kerjasama, dan menjadi peserta bersama penerima manfaat dalam melakukan proses perubahan yang akan mendorong dan menggalakkan pemilikan bagi kedua-dua belah pihak. Organisasi sosial hendaklah lebih memahami keperluan kumpulan sasaran mereka. Mereka harus menggalakkan kelestarian diri dalam kehidupan para penerima manfaat dalam jangka masa panjang.

Kami telah bermula sendiri terlebih dahulu berdasarkan dua contoh sebelum mengemukakan prinsip panduan ini. Salah satunya, kami telah memberi biasiswa selama 24 tahun. Contoh lain termasuklah memulakan Enabling Academy dimana kami menawarkan program peralihan pekerjaan yang menyediakan latihan pra-pekerjaan dan sokongan penempatan pekerjaan untuk golongan dewasa yang menghidap autisme untuk mendapat pekerjaan kolar putih dan profesional.

Bagaimanakah melestarikan sesebuah organisasi sosial?

Shahira: Cabaran terbesar bagi kebanyakan entiti ini, tidak kira siapa mereka, adalah kelestarian kewangan. Semasa kami melakukan kajian di Malaysia, banyak perusahaan sosial telah mendapat manfaat daripada sokongan geran dan telah berkembang kepada saiz tertentu, tetapi masih tidak cukup besar untuk menarik tajaan yang seterusnya.

Mereka berada "di tengah-tengah" - terlalu besar untuk diberikan tajaan geran tetapi terlalu kecil untuk menjadi suatu pelaburan di tahap berikutnya. Data dari laporan perusahaan sosial menyatakan bahawa sekitar 50% daripada mereka adalah golongan muda, berusia antara 26 hingga 40 tahun, yang harus kita sokong dan membenarkan mereka mencari tujuan hidup ataupun perniagaan.

Ini adalah contoh para pengubah masa depan anda. Bagaimanakah kita dapat menyokong mereka dengan cara yang lestari? Cara pertama ialah melalui kerjasama. Salah satu perkara yang sedang kami usahakan dengan para pemberi sumbangan lain adalah sama ada kita boleh memperoleh sumber atau dana kumpulan. Keduanya ialah koordinasi. Sebagai sebuah negara, kita kurang mahir dalam penyelarasan dan pelaksanaan. Yang terakhir adalah kelangsungan, sama ada yayasan lain dapat meneruskannya dengan penuh bersemangat untuk lima tahun akan datang.

Kebanyakan NGO bekerja berdasarkan projek dan saya rasa itu adalah kelemahan nombor satu juga. Anda tidak seharusnya melihat komuniti berdasarkan projek. Ini adalah berkaitan kehidupan seseorang. Oleh itu, anda harus mempunyai pendekatan sistemik yang memberi gambaran yang sangat besar dan membolehkan anda mengenal pasti bahawa anda bukanlah satu-satunya yang boleh membuat perubahan itu. Anda juga perlu mengenali rakan kongsi yang lain.

Bagaimanakah pihak swasta, organisasi sosial dan kerajaan, dapat menjalin kerjasama dalam tanggungjawab sosial dan peranan apakah peranan yang dimainkan oleh setiap daripada mereka?

Ahmad: Bertahun-tahun yang lalu ketika saya terlibat dalam mempromosikan pelancongan alam semula jadi, semua hotel berhampiran pantai atau kawasan ekopelancongan wajib membersihkan kawasan tersebut. Kini, ianya sudah menjadi tradisi di mana mereka membersihkan pantai, namun, jika anda pergi sejauh 100 meter, anda dapat melihat sampah.

Kami telah mengembangkan kesedaran tempatan yang boleh membantu hotel atau pengendali ekopelancongan membersihkannya. Ini bermaksud, misi kerajaan harus sejajar dengan NGO dan menyokong syarikat-syarikat tersebut.

Syarikat dan penaja besar haruslah fokus dalam melihat kesan jangka panjang (usaha mereka). Sebuah muzium sejarah nasional adalah salah satu daripadanya, pemuliharaan hutan tertentu, atau membantu kerajaanmenghubungkan pecahan Central Forest Spine (CFS) supaya haiwan dapat bergerak.

Shahira: Banyak yayasan yang bekerjasama rapat dengan kerajaan. Kerajaan telah menyokong, berusaha melakukan yang terbaik dengan kapasiti yang mereka miliki untuk membantu. Namun, kita harus memiliki mekanisme, dimana NGO dan perusahaan sosial dapat disokong untuk menjadi lebih efektif di lapangan. Jentera kerajaan menyediakan perkara-perkara lain seperti skala, jangkauan dan dasar, tetapi pekerja sosial dan NGO yang berada di lapangan, merekalah yang benar-benar menjadikan projek ini suatu kenyataan.

Sumber

Rencana Berita Lain

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay