Yayasan Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff Menyediakan Ruang Selamat untuk Kanak-kanak Bermain dengan Pelancaran Gelanggang Cruyff Kelima

Kerjasama Diteruskan bagi Meningkatkan Akses kepada Kemudahan Sukan untuk Kanak-kanak daripada Semua Latar Belakang

Gelanggang Cruyff adalah padang permainan awam yang memperkasa kanak-kanak untuk cemerlang dalam sukan dan kehidupan dengan merangsang mereka untuk mempelajari kemahiran baharu dan mencungkil bakat mereka. Dengan mewujudkan tempat yang selamat untuk mereka bermain, kanak-kanak ini didorong untuk terus aktif dengan melibatkan diri dalam sukan, seterusnya semakin dekat dengan komuniti mereka.

 

Gelanggang Cruyff di Felda Lurah Bilut adalah yang kelima seumpamanya di Malaysia, dan menjadi sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff, untuk membina 20 Gelanggang Cruyff di seluruh Malaysia dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.

 

Pengarah Urusan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata: “Di Hasanah, kami berhasrat memberikan impak jangka masa panjang dan lestari dalam pelbagai bidang termasuklah dengan mewujudkan ruang awam yang selamat, inklusif dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia. Kami ingin terus memperkasa anak muda Malaysia, terutamanya kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan kanak-kanak kurang upaya, untuk menjadi anggota komuniti yang aktif dan memberi inspirasi. Kami percaya bahawa sukan adalah salah satu cara untuk menyatukan masyarakat, dan kerjasama kami dengan yayasan Johan Cruyff ini telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkara ini."

 

Pelancaran Gelanggang Cruyff di Felda Lurah Bilut juga menandakan pelancaran kursus Jurulatih Yayasan Cruyff di Malaysia. Jurulatih Yayasan Cruyff jurulatih tempatan dan pekerja belia berusia lebih 21 tahun yang telah menjalani latihan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menjadi model contoh dalam komuniti mereka dan menganjurkan pelbagai acara untuk memberi inspirasi kepada generasi muda melalui Program Heroes of the Cruyff Courts.

 

Ilja van Holsteijn, Pengurus Gelanggang Cruyff berkata, "Tujuan kami adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin belia yang aktif di seluruh dunia dan kami sangat gembira dengan penerimaan golongan muda di seluruh Malaysia terhadap Gelanggang Cruyff. Kejayaan ini turut melibatkan semangat dan dedikasi pasukan di Yayasan Hasanah yang telah memberi inspirasi kepada kami untuk melakukan lebih banyak lagi menerusi pengenalan inisiatif Jurulatih Yayasan Cruyff di sini. Kami berharap agar anak muda Felda Lurah Bilut mengambil kesempatan ini untuk mencungkil dan mengembangkan lagi bakat mereka dan akhirnya menjadi wira dalam kisah mereka sendiri."

 

Dengan menganjurkan acara ini, belia di Malaysia diberi pentas untuk membangunkan dan mengembangkan bakat mereka, sambil memperoleh keyakinan diri yang lebih tinggi, dan mencari cara yang praktikal untuk berusaha mencapai cita-cita peribadi mereka.

 

Aizat, wakil Sekretariat Rangers berkata, "Menjadi sebahagian daripada program ini bukan hanya membantu meningkatkan kemahiran kepemimpinan pasukan kami, tetapi ia juga memperkuatkan pemahaman kami tentang belia tempatan dan keperluan mereka dalam komuniti. Saya berharap program ini dapat dilanjutkan ke seluruh negara hinggalah suatu hari nanti kita dapat mengadakan kejohanan besar yang menampilkan pemain Gelanggang Cruyff dari seluruh negara.”

 

Rudy, seorang peserta dari Kelantan berkata, “Program ini telah banyak membantu saya sebagai jurulatih komuniti, yang membolehkan saya terus berhubung dengan komuniti setempat. Selain itu, saya juga dapat berjumpa dan mengenali Jurulatih Cruyff lain dari seluruh dunia. Ini membolehkan saya memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai cabaran dan kaedah pengajaran mereka, yang akan saya guna pakai dalam sesi bimbingan dengan pelajar saya."

 

Acara diakhiri dengan pertandingan futsal persahabatan antara Kementerian Belia dan Sukan, Felda, Yayasan Johan Cruyff dan Hasanah.

Rencana Berita Lain

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay