Transformasi pendidikan untuk Malaysia yang lebih baik

Masyarakat yang inklusif dan diperkasakan serta persekitaran yang sihat dan lestari bermula dengan pendidikan berkualiti.
Masyarakat yang inklusif dan diperkasakan serta persekitaran yang sihat dan lestari bermula dengan pendidikan berkualiti.

Transformasi pendidikan untuk Malaysia yang lebih baik

Kemajuan pesat dalam inovasi dan teknologi telah mengubah cara hidup kita, begitu juga dengan peranan pendidikan dalam masyarakat moden. Kini terdapat keperluan yang lebih besar daripada sebelumnya untuk kita menilai semula pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan oleh generasi masa hadapan. Ini akan memastikan bahawa mereka bukan sahaja dapat bertahan tetapi juga berkembang dalam realiti baharu ini. Sebagai organisasi berasaskan impak, Yayasan Hasanah (Hasanah) benar-benar percaya bahawa kita dapat mewujudkan masyarakat yang inklusif dan berdaya maju serta persekitaran yang sihat dan lestari melalui pendidikan. Pendidikan bertindak sebagai pemacu dan pemangkin kepada semua parameter pembangunan utama; kesihatan dan kesejahteraan, sumber pendapatan yang bermakna, keselamatan ekonomi dan pengembangan potensi manusia sepenuhnya. Oleh itu, kami sangat komited untuk menyokong model pendidikan yang inovatif dan berskala yang mempromosikan ekuiti dan meningkatkan akses kepada pembelajaran berkualiti untuk semua.

Inovatif dan Inklusif

Mengajar setiap kanak-kanak untuk menguasai kemahiran asas seperti literasi dan numerasi adalah sangat penting. Walau bagaimanapun, kita juga perlu memastikan bahawa pelajar juga mampu cemerlang dalam bidang yang paling penting buat mereka. Tidak ada satu pendekatan yang sesuai untuk mencapai keseimbangan dinamik antara mengajar kemahiran asas dengan memberikan kebebasan kepada anak ke atas pendidikan mereka sendiri. Oleh sebab itu, adalah penting bagi kerajaan dan pihak berkepentingannya untuk benar-benar menilai bagaimana perkara ini dapat dilakukan. Titik permulaan yang baik adalah pengembangan model perkongsian swasta-awam (Private-Public Partnership - PPP) untuk pendidikan. Komitmen dan sokongan kerajaan telah membolehkan Hasanah dan rakan kami Yayasan Amir dan LeapEd Services berjaya melaksanakan Program Sekolah Amanah (TSP). Selama lapan tahun ini, TSP memfokuskan pada pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Sekolah Amanah diberi kuasa untuk membangunkan kerangka kerja yang lebih berkesan dan disesuaikan untuk menyokong perkembangan pelajar dengan lebih baik. TSP mengetengahkan apa yang boleh dicapai ketika kerajaan memberi sokongan kepada sektor swasta melalui model PPP untuk membawa perubahan sistemik ke landskap pendidikan kita daripada awal. Sehingga kini, kita telah melihat peningkatan keseluruhan pelajar yang signifikan di semua 83 Sekolah Amanah. Penilaian impak bebas terhadap TSP yang dilakukan oleh University of Melbourne pada tahun 2015 juga mengenal pasti banyak perubahan positif daripada program ini. Ini merangkumi kecekapan guru yang lebih baik; peningkatan pengurusan sekolah dan operasi harian; peningkatan penglibatan pelajar dan juga tahap penyertaan ibu bapa yang lebih tinggi.

Pembelajaran berlaku didalam dan juga luar kelas, yang membolehkan pelajar melengkapkan diri dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.
Pembelajaran berlaku didalam dan juga luar kelas, yang membolehkan pelajar melengkapkan diri dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.

Pelaburan dan Penambahbaikan

Melabur dalam model pendidikan baharu menuntut komitmen kewangan yang besar. Walaupun begitu, kos pelaburan tersebut haruslah diukur berdasarkan kelebihan segera dan potensi memiliki masyarakat berpendidikan tinggi yang mampu berinovasi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua. Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pendidikan adalah kunci untuk semua kemajuan, sama ada negara, masyarakat mahupun individu. Setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan setiap generasi berhak mendapatkan pendidikan yang relevan seiring dengan zaman mereka. Oleh sebab itu, tanggungjawab kewangan untuk melabur dalam pendidikan tidak seharusnya terletak pada kerajaan sahaja. Dengan kesedaran inilah Hasanah telah melaburkan lebih RM100 juta dalam pendidikan pada tahun lalu sahaja. Sebenarnya, TSP telah menerima dana lebih RM500 juta daripada pelbagai penderma sejak lapan tahun kebelakangan ini. Terkini, kami juga memperkenalkan bon sukuk Islam pelaburan sosial (socially responsible investment - SRI) pertama di negara ini. Setakat ini, 2 bahagian bon telah dikeluarkan berjumlah RM200 juta. Hasil pengeluaran ini telah disalurkan kepada TSP sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewangan inovatif kami untuk membiayainya. Walaupun demikian, untuk model pendidikan inventif seperti TSP untuk berjaya dan berkesinambungan dalam jangka masa panjang, ia memerlukan pelaburan yang lebih besar oleh pihak korporat dan juga individu, melalui PPP yang lebih strategik dan kolaboratif. Ini akan membolehkan pihak pelaksana melakukan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan untuk menyempurnakan program ini. Ia juga akan memastikan bahawa lebih banyak sekolah di Malaysia dapat memanfaatkan program ini melalui peningkatan dan pengoptimuman pembelajaran.

Projek Sifar Bahan Buangan dan iG-HOME dibiayai oleh Hasanah sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar, keluarga dan komuniti setempat mengenai pengurusan sisa dan kelestarian kehidupanan.
Projek Sifar Bahan Buangan dan iG-HOME dibiayai oleh Hasanah sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar, keluarga dan komuniti setempat mengenai pengurusan sisa dan kelestarian kehidupanan.

Kelestarian dan Kejayaan

Di Hasanah, kita juga telah melangkah kehadapan daripada pendekatan peningkatan sekolah tunggal kepada program transformasi pendidikan di seluruh negeri; melibatkan pelbagai peringkat dan pelbagai pihak, melalui Projek AMAN di Kedah. Dengan menggunakan pendekatan dan kejayaan TSP, kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan zon utara untuk mempengaruhi tiga komponen utama sistem pendidikan negeri Kedah; Jabatan Pelajaran Negeri (JPN Kedah), sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah. Usaha pendidikan Hasanah dengan rakan kongsi kami tidak berhenti di situ. Kami menyokong Yayasan PINTAR untuk membangunkan program yang komprehensif dengan pihak profesional dalam bidang kesihatan mental untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kesihatan mental guru dan kaunselor sekolah menengah. Kami juga bekerjasama dengan Khidmat Nurani Khalifah (KNK) dalam membangunkan revolusi model penilaian bagi pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dan MySkills Foundation untuk melengkapkan golongan muda yang berisiko dengan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan. Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi (Association of Science, Technology and Innovation - ASTI) untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Kami turut bekerjasama dengan Yayasan PINTAR dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk mempromosikan amalan kelestarian seperti pengumpulan air hujan, kompos organik dan sistem kitar semula bahan buangan di sekolah menengah di Kedah. Sesungguhnya, transformasi pendidikan adalah perjalanan penting bagi setiap rakyat Malaysia tidak kira sama ada anda masih bersekolah atau sebaliknya. Oleh itu, semua inisiatif mesti diasaskan untuk meletakkan hati dan minda kita ke arah pembelajaran dan peningkatan sepanjang hayat yang berterusan. Golongan muda dalam landskap yang sangat kompetitif hari ini menghadapi cabaran yang lebih besar. Mereka mesti menguasai literasi asas, membangunkan pemikiran ingin tahu dan mengasah keupayaan fizikal baru; pada masa sama menerajui penggunaan teknologi moden. Oleh itu, melengkapkan mereka dengan kemahiran yang betul untuk berjaya memerlukan usaha kolektif daripada setiap anggota masyarakat. Dengan bekerjasama, Hasanah percaya bahawa kita dapat mencapai sistem pendidikan yang lebih kukuh untuk Malaysia; satu sistem yang memberi kuasa kepada pelajar untuk membangunkan kemahiran dan kemampuan yang betul untuk menjadi anggota masyarakat yang produktif, untuk masa sekarang dan juga masa hadapan.

Kisah Pendidikan Lain

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay