Belanjawan 2025: Kenyataan Rasmi Yayasan Hasanah

18 Okt 2024: Yayasan Hasanah menyambut baik Belanjawan 2025 yang prihatin akan kesejahteraan rakyat, seiring dengan pendekatan kami yang mendahulukan insan dan komuniti yang memerlukan. Kami juga melihat komitmen Kerajaan yang berterusan terhadap sektor impak sosial merangkumi pendidikan, pemperkasaan komuniti, alam sekitar, serta ekonomi kreatif.

Kami amat menghargai ikhtiar bersepadu Kerajaan demi menangani keciciran dalam pendidikan, di mana Program Anak Kita akan terus diperkasa dengan peruntukan RM30 juta. Ia menguatkan lagi momentum impak Program Anak Kita yang menekankan usaha bersama dah keprihatinan “whole-of-nation” dalam merealisasikan impian dan potensi anak-anak kita. Dalam menangani isu keciciran, usaha Yayasan Hasanah juga termasuk menarik minat anak-anak menceburi bidang TVET, menerusi kolaborasi rakan kerjasama kami.

Dengan cabaran perubahan iklim akhir-akhir ini, kami turut mengalu-alukan RM20 juta geran padanan yang disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk mempertingkatkan respons dan penyaluran bantuan kepada rakyat yang terjejas oleh bencana banjir. Di Hasanah, kami sentiasa bersiap-siaga untuk bersama-sama negara dalam membantu komuniti yang terjejas, dengan kerjasama NADMA, rangkaian GLC / GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), serta pelbagai organisasi bantuan kemanusiaan.

Belanjawan ini juga memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkasa program komuniti di seluruh lapisan masyarakat. Antara yang ditekankan adalah menyuburkan semangat kesukarelawanan dengan kerjasama Yayasan GLIC/ GLC dan NGO dalam menangani isu-isu rakyat, dan memperkasa komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi. Kami yakin ia bakal memberi manfaat buat rakan-rakan kerjasama kami sebagai “first-local-responders” yang giat mencetus transformasi positif merentasi pelbagai komuniti.

Kami mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan; sokongan berterusan Kerajaan bagi sektor impak sosial terus menjadi pembakar semangat dan pengganda hasil bagi kami di Yayasan Hasanah serta rakan-rakan pelaksana.

Melangkah lembaran tahun 2025, Yayasan Hasanah kekal komited untuk meneruskan kerjasama erat dengan NGO, pertubuhan masyarakat sivil, perusahaan sosial, dan agensi kerajaan, ke arah bersama membangunkan Malaysia: ke arah sebuah negara maju berlandaskan nilai manusiawi, kemampanan, dan keterangkuman.