Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC dan GLIC (GDRN) Turut Serta Menyokong Perjuangan Melawan Covid-19 | RM40 Juta Sumbangan Sehingga Kini

Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC dan GLIC (GDRN) Turut Serta Menyokong Perjuangan Melawan Covid-19 | RM40 Juta Sumbangan Sehingga Kini

Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan ("GLC") dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan ("GLIC") , bersama-sama dengan pelbagai rakan kongsinya, berganding bahu menjalankan koordinasi bagi memperkemas sokongan GLC dan GLIC untuk membantu Kementerian Kesihatan ("KKM") dalam menangani wabak COVID-19.

GDRN dikendalikan oleh Sekretariat Bersama yang diketuai oleh Yayasan Hasanah (“YH”) (sebuah yayasan milik Khazanah Nasional Berhad) dan Telekom Malaysia Berhad (“TM”).

Sumbangan awal kolektif berjumlah RM40 juta daripada beberapa GLC, GLIC dan entiti sektor swasta bagi menyokong pelbagai inisiatif berkaitan kemanusiaan dan perubatan.

Daripada RM40 juta itu, RM17 juta telah disalurkan terus kepada GDRN untuk membantu KKM membeli bekalan perubatan, PPE dan ventilator. Syarikat-syarikat yang menyokong GDRN bagi membantu KKM adalah:

1. Affin Bank Berhad
2. CIMB Bank Berhad
3. Kumpulan Wang Persaraan (KWAP)
4. Permodalan Nasional Berhad
5. Sime Darby Property Berhad
6. Pharmaniaga
7. Tenaga Nasional Berhad (TNB)
8. Telekom Malaysia
9. TIME dotcom Berhad
10. Yayasan Hasanah
11. Yayasan Sime Darby
12. Yayasan UEM

Peruntukan RM17 juta ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan bekalan perubatan merangkumi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan ventilator untuk memenuhi keperluan KKM dan semua hospital awam serta hospital berstatus institusi. Penyelarasan dan pelaksanaan perolehan, pengendalian, penyimpanan dan pengagihan akan dilakukan melalui PharmaNiaga Berhad.

“Kami merasakan bahawa sokongan kami harus diselaraskan dengan lebih baik untuk mengelakkan duplikasi usaha dan pertindanan bekalan. Kami berharap agar platform ini akan membolehkan pendekatan yang lebih lancar untuk membantu KKM dan negara dalam masa sukar ini. Ketika ini, Yayasan Hasanah sedang menyelaraskan usaha dengan GLC dan GLIC di bawah GDRN dan mengalu-alukan semua sektor swasta untuk turut memberikan sokongan terhadap usaha bersama ini”, kata Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.

Selain itu, beberapa anggota GDRN pada awalnya telah melaksanakan beberapa bantuan sokongan berjumlah kira-kira RM23 juta dan ini termasuk pengagihan bekalan makanan, kit kebersihan dan peralatan perubatan ke hospital-hospital termasuk Pusat Kesihatan Daerah; universiti yang masih menempatkan pelajar di kampus; dan ke Pusat Pengawasan yang dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Beberapa anggota GDRN juga turut menggerakkan sukarelawan-sukarelawan mereka di dalam usaha ini.

Komitmen GDRN menyokong usaha melawan COVID-19 akan terus dilakukan walaupun di luar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”) berikutan rancangan jangka panjangnya untuk membantu komuniti B40 yang terkesan dengan COVID-19. Ini selari dengan matlamat pembentukan GDRN, untuk memastikan tindak balas holistik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang semasa bencana, yang dapat disaksikan melalui sokongan yang diberikan di seluruh negara sepanjang tahun 2013 hingga tahun 2019.

Walaupun usaha melalui GDRN, GLC, GLIC dan syarikat sektor swasta akan diteruskan, pihak / organisasi yang berminat untuk menyumbang melalui GDRN dan Yayasan Hasanah boleh menghubungi individu-individu berikut:

1. Anita Ahmad - Ketua, Pembangunan Komuniti dan Bantuan Bencana Kemanusiaan, Yayasan Hasanah
Bimbit: +6019-2782707
Email: anita.ahmad@hasanah.org.my

2. Izad Ismail - Ketua Tanggungjawab Korporat dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Luar, Telekom Malaysia Berhad, & Ketua Sekretariat GDRN
Bimbit: +6019-3366035
Email: izad@tm.com.my

Jaringan Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) ditubuhkan pada tahun 2013 melalui Jawatankuasa Putrajaya untuk Prestasi Tinggi GLC (“PCG”), dengan Khazanah Nasional sebagai Sekretariatnya. Jaringan ini telah berjaya dimanfaatkan antara tahun 2013 dan 2016 dalam kerja-kerja bantuan dan pembinaan semula, terutamanya ketika banjir besar di Kelantan, Pahang dan Johor, dimana sumbangan daripada GLC telah diselaraskan dan digunakan dengan baik. Sejak tahun 2014, Sekretariat GDRN telah bekerjasama dengan TM, sebagai Entiti Pengganti kepada PCG.

Other Featured & News Stories

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay