Perjanjian Penting untuk Yayasan Johan Cruyff bersama Gelanggang Cruyff di Malaysia

Perjanjian Penting untuk Yayasan Johan Cruyff bersama Gelanggang Cruyff di Malaysia

Amsterdam / Kuala Lumpur, 12 Februari 2018 - Yayasan Johan Cruyff akan membangunkan dua hingga tiga Gelanggang Cruyff setiap tahun di Malaysia pada tahun-tahun mendatang. Surat Hasrat ini ditandatangani pada 9 Februari bersama Yayasan Hasanah di Kuala Lumpur. Dijangkakan sebanyak 15 hingga 20 Gelanggang Cruyff akan dibina di Malaysia pada tahun-tahun mendatang. Kajian juga akan dilakukan untuk menentukan sama ada konsep Schoolyard14 dapat dibangunkan, dan sama ada terdapat skop untuk Gelanggang Cruyff Khas untuk kanak-kanak kelainan upaya.

 

Yayasan Hasanah adalah yayasan berasaskan impak yang berusaha untuk mewujudkan perubahan sosial dan persekitaran yang nyata, berkekalan dan positif untuk Malaysia melalui kerja-kerjanya, yang memfokuskan kepada Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Kesenian, Warisan & Budaya, Pengetahuan, dan Ruang Awam. Berdasarkan bidang-bidang yang difokuskan ini, Hasanah bekerjasama dengan masyarakat sivil, komuniti, syarikat dan agensi kerajaan untuk mereka bentuk dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang akan membantu mencapai visi tersebut dengan sebaik-baiknya..

 

Surat Hasrat itu ditandatangani ketika misi perdagangan pertama dijalankan pada minggu lalu oleh Sigrid Kaag, Menterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Misi perdagangan diakhiri dengan sesi latihan di stadium bola sepak di Kuala Lumpur, di mana klinik-klinik latihan bola sepak diberikan oleh Cruyff Football (Wim Jonk) untuk pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Nasional di Malaysia, yang melibatkan lebih 100 kanak-kanak lelaki dan perempuan dari Kuala Lumpur.

 

Yayasan Cruyff aktif di Malaysia sejak beberapa lama, dengan empat Gelanggang Cruyff di Johor Bahru, Kuala Lumpur, dan bandar-bandar lain. Gelanggang Cruyff di Johor Bahru dibuka oleh Johan Cruyff pada tahun 2002. Terdapat banyak pengalaman positif melibatkan Gelanggang-gelanggangCruyff tersebut, sehingga kemudiannya diputuskan agar jumlah Gelanggang Cruyff di Malaysia ditambah. Ini akan membolehkan Yayasan Cruyff memberikan impak besar tanpa pelaburan yang besar daripada pihaknya.

 

Kementerian Luar Negeri membiayai kursus latihan untuk Jurulatih Yayasan Cruyff di Kuala Lumpur. Kursus ini akan dilancarkan pada tahun 2018 dan membolehkan jurulatih tempatan dan pekerja belia melaksanakan program ‘Heroes of the Cruyff Courts’ di Gelanggang Cruyff yang baru di Malaysia dengan anak-anak muda dari kawasan kejiranan, secara tidak langsung mewujudkan model contoh untuk mereka.

 

Niels Meijer, pengarah Yayasan Cruyff, gembira dengan kerjasama ini. Moto kami "Yayasan Cruyffmembantu anak-anak bergerak dengan aktif" adalah universal, dan kami terus menerus mengetengahkannya. Kami sentiasa menunjukkan bagaimana ia dapat dilaksanakan di Gelanggang Cruyff kami. Kami melakukan perkara ini di Belanda dan juga di negara lain - terutamanya di lokasi yang kami dapat menubuhkan dan mengembangkan inisiatif kami secara lestari. Oleh itu, kami gembira dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan pihak Kementerian. Ini akan memastikan kelestarian dan impak yang terjamin untukkanak-kanak di Malaysia.”

Mengenai Yayasan Johan Cruyff

Yayasan Johan Cruyff membantu kanak-kanak bergerak dengan aktif, dimana mereka dapat bermain dan membesar bersama. Bersukan dan bermain meningkatkan kecergasan mereka, mengajar mereka untuk bergaul dan membantu mereka untuk berkembang. Melalui Gelanggang Cruyff, Schoolyard14 dan projek sukan untuk kanak-kanak kelainan upaya, kami ingin memotivasi kanak-kanak untuk terus aktif.

 

Kami membantu memastikan beribu-ribu kanak-kanak di seluruh dunia untuk aktif setiap minggu. Yayasan Johan Cruyff disokong oleh beberapa rakan kongsi tetap: The Dutch Postcode Lottery, Seacon Logistics, VodafoneZiggo, COOP, TenCate Grass, Cargill, People’s Postcode Lottery, La Caixa Foundation dan Fundació FC Barcelona.

Mengenai Yayasan Hasanah

Yayasan Hasanah (“Hasanah”) merupakan yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), sebuah dana kekayaan berdaulat Malaysia. Hasanah telah ditubuhkan sebagai entiti bebas pada 1 Julai 2015, berdasarkan usaha Tanggungjawab Korporat selama sembilan tahun yang dilaksanakan oleh Khazanah sebelum ini. Sebagai organisasi pemberi geran, Hasanah bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, malah turut serta sebagai pemudahcara dalam sesebuah ekosistem transformasi, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menerapkan semangat advokasi dan membangunkan kapasiti dalam lima bidang tumpuan: Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Kesenian dan Ruang Awam; dan Pengetahuan. Dengan jalinan kerjasama dan penglibatan kolektif banyak pihak, Hasanah berharap dapat mewujudkan perubahan dalam komuniti dan sosial untuk rakyat Malaysia, demi negara Malaysia yang lebih baik. Untuk maklumat lanjut, sila layari yayasanhasanah.org

Rencana Berita Lain

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay