Belanjawan 2024 | Kenyataan Rasmi Yayasan Hasanah

“Yayasan Hasanah menyambut baik Belanjawan 2024 yang terus menyokong sektor impak sosial merentasi pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesejahteraan rakyat, alam sekitar, ekonomi kreatif dan seni budaya.

Kami juga mengalu-alukan fokus belanjawan ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada segenap lapisan masyarakat, sekaligus “menaikkan lantai” untuk pembangunan inklusif rakyat Malaysia.

Di samping itu, kami teruja melihat usaha-usaha yang dipelopori rakan kerjasama Yayasan Hasanah seperti intervensi bagi murid yang tercicir dan terkesan oleh pandemik, program kesejahteraan komuniti, perlindungan biodiversiti, dan pemuliharaan tekstil warisan, turut digariskan dalam Belanjawan 2024.

Kami di Yayasan Hasanah terus komited untuk menjalin kerjasama dan memupuk semangat kolaborasi dengan rakan NGO, pertubuhan masyarakat sivil, perusahaan sosial dan agensi Kerajaan. Ini adalah selaras dengan tumpuan Kerajaan untuk memupuk Kerjasama Awam-Swasta-Dermawan (PPPP) dalam projek memperkasa rakyat.

Yayasan Hasanah menyuarakan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan, untuk mengorak langkah bersama rakan-rakan kolaborasi kami, bagi menjayakan kerangka Ekonomi MADANI.”

Dato’ Shahira Ahmed Bazari
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah