Peluncuran Program Anak Kita Atasi Isu Keciciran Pembelajaran

HULU SELANGOR, 27 September 2024: Kerajaan hari ini melancarkan Program Anak Kita, iaitu suatu inisiatif bagi mengatasi isu keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah Malaysia dan disempurnakan secara bersama oleh  Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Fadhlina Sidek, di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor.

Program Anak Kita ini merupakan program strategik hasil sinergi dua Kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dan merupakan suatu reformasi pendidikan  

Program Anak Kita dilaksanakan bagi menangani tiga masalah utama iaitu yang pertama, isu penguasaan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M). Program kedua pula khusus bagi menangani isu keciciran pelajar dari sistem persekolahan terutamanya pelajar yang terkesan dengan kemiskinan. Program yang ketiga ialah bagi meningkatkan peratusan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak mendapat sijil SPM melalui kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Program yang diiltizamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2024 tahun lalu, di mana RM100 juta diperuntukkan khusus bagi menangani isu keciciran pelajar di sekolah.

Dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan melaksanakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk merancang dan merealisasikan Program Anak Kita ini. Terdapat tiga (3) universiti awam; dan juga tujuh (7) organisasi masyarakat sivil yang terlibat did alam program ini. Program ini juga diterajui oleh Unit Pantau Madani, Kementerian Kewangan dan akan memantau pelaksanaan Program ini sehingga 31 Disember 2025. Pengurus program ini adalah Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional.

Pendekatan seluruh negara (“whole-nation-approach”) adalah sejajar dengan prinsip dan sasaran Kerangka Ekonomi MADANI, untuk menggalakan sektor korporat dan masyarakat sivil bersama-sama menghulurkan tangan membantu dalam usaha pembangunan negara.

Suasana meriah bersama anak-anak di kelas pemulihan SK Rasa di Majlis Peluncuran Program Anak Kita

Yang Berhormat Fadhlina Sidek dalam ucapan peluncuran Program ini mengatakan “Memastikan akses pendidikan yang saksama adalah tanggungjawab bersama.  Program Anak Kita dibangunkan untuk menangani isu-isu keciciran secara langsung melalui intervensi yang disesuaikan termasuk program pemulihan, pelan pembelajaran peribadi, dan sokongan daripada rakan kongsi komuniti. Dengan memanfaatkan teknologi, inisiatif ini mengintegrasikan alat digital untuk bimbingan maya, penjejakan kemajuan, dan analitik data untuk memastikan pelajar yang berisiko ketinggalan dikenal pasti awal dan diberi sokongan yang disasarkan.”

Program ini juga turut mendapat dokongan dari Badan Antarabangsa seperti Bank Dunia, UNICEF dan juga UNESCO dan juga syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft dan Google.

”Pendidikan dan Ekonomi mempunyai hubung kait yang rapat dan pendidikan yang berkualiti adalah asas kepada kemakmuran negara. Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara kerana pendidikan yang berkualiti meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kita dan seterusnya peluang pekerjaan yang lebih luas dengan peluang pendapatan yang lebih baik. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan generasi yang berdaya saing dan inovatif, yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah dalam ucapan beliau.

Seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah disasarkan akan terlibat dalam Program Anak Kita dari seluruh pelosok negara dan melibatkan aktiviti intervensi pembelajaran seperti kursus pedagogi untuk para guru, latihan kemahiran pengurusan pentadbiran dan kepimpinan untuk pentadbir sekolah serta penggunaan peranti teknologi sebagai alat bantuan pelajaran. Semua langkah intervensi yang dirancang di bawah Program ini bertujuan untuk melengkapi dan mendokong segala bentuk usaha Kementerian Pendidikan yang sedang berjalan pada masa ini.

Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor hari ini dijayakan dengan kehadiran pelajar-pelajar sekolah pelbagai aliran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur seperti SJK(C) Rasa, SJK(T) Kuala Kubu Bharu, SAMT Kuala Kubu Bharu dan kehadiran pelajar kaum orang Asli dari SK Tun Abdul Razak. Bersesuaian dengan tema majlis “Anak Kita & Kita Malaysia” khusus bagi meraikan kepelbagaian kaum dan mengangkat semangat muhibah di kalangan pelajar. 

Turut dipamerkan reruai pihak-pihak yang terlibat dalam Program Anak Kita yang secara jelas memperincikan pelan pelaksanaan dan aktiviti intervensi yang bakal dijalankan.