Artifak dan nilainya untuk sesebuah negara

ARTIFAK DAN NILAINYA UNTUK SESEBUAH NEGARA

OLEH

SHAHIRA AHMED BAZARI

PENGARAH URUSAN YAYASAN HASANAH

30 NOVEMBER 2020 (ISNIN)
3.00PM – 5.00PM (UCAPAN 20 MIN)

VIRTUAL (RAKAMAN https://streamyard.com/up649eihmx)

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
  2. YBhg Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia
  3. YBhg Datuk Kamilia Ibrahim, Pengerusi Yayasan Wiba Prima
  4. YBhg Encik Nasir bin Baharuddin, Ketua Pengarang Projek Dokumentasi


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Bagi pihak Yayasan Hasanah, saya ucapkan tahniah kepada Yayasan Wiba Prima kerana telah menyelesaikan projek perintis ini untuk mendokumentasikan artifak di Galeria Perdana Langkawi.
  2. Penghargaan tulus ikhlas dari kami kepada semua organisasi; Galeria Perdana Langkawi, Jabatan Muzium Malaysia, Universiti Utara Malaysia, dan agensi lain-lain kerana membantu menyokong inisiatif ini dan menempuh perjalanan yang istimewa ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  • Izinkan saya untuk berkongsi pandangan kami bila menerima kertas cadangan Yayasan Wiba Prima.
  • Berabad lamanya, muzium memainkan peranan penting dalam memelihara sejarah dan kemampuan kuratorialnya dalam mengekspresikan perjalanan negara kita. Bahan-bahan yang di pamerkan menceritakan kisah kewujudan negara, masyarakat dan budaya kita dan tanpa pameran tersebut, sejarah kita mungkin akan dilupai. Oleh kerana kepelbagaian fungsi dan sumbangan Muzium kepada komuniti kita hari ini, kami telah bercadang untuk mengunjungi Galeri Perdana. Masyallah, pada kunjungan pertama kami, kami sangat terpukau dan kagum dengan keindahan dan pentingnya sejarah setiap bahan yang terdapat disitu yang kaya dengan seni budaya, dari segi politik, komuniti dan kepelbagaian dimensi estetika bilateral dari seluruh dunia.
  • Galeria Perdana adalah sebuah muzium yang dibina bagi mempamerkan hadiah, cenderahati dan penghargaan yang diterima oleh Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Dr. M. Semua hadiah dan cenderahati diberikan oleh perwakilan, negarawan dan pemimpin dari seluruh dunia, rakyat Malaysia serta tetamu dan rakan keluarga sepanjang tempoh Tun berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Saya difahamkan terdapat lebih dari 9,000 artifak telah dikumpul selama ini.
  • Semasa lawatan tersebut, kami berkeputusan untuk menyokong program ini kerana ianya bersesuaian dengan misi kami dalam meningkatkan kesedaran, penghargaan dan pemeliharaan aset bersejarah negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  • Objektif utama kami menyokong inisiatif ini adalah untuk menekankan betapa pentingnya muzium dalam kehidupan kita. Memandangkan Pulau Langkawi merupakan salah satu destinasi utama pelancongan negara, kami percaya ia berpotensi tinggi dalam menyokong matlamat kami untuk mengetengahkan artifak-artifak bernilai ini kepada seluruh dunia.
  • Matlamat kerjasama di antara Yayasan Hasanah dan Yayasan Wiba Prima adalah untuk mendokumentasikan 300 dari lebih 9,000 artifak di galeri ini dan membuat kajian ke atas garis masa dan kepentingan sejarah nasional bagi semua pemberian tersebut dari perspektif sejarah dan pembangunan negara melalui program “Program Galeri Perdana Langkawi”.  
  • Inisiatif bernilai RM180,000 bagi Memelihara dan Memulihara Aset Kesenian dan Warisan yang bertujuan mendorong penghargaan orang ramai sambil mewujudkan titik rujukan untuk seni atau artifak dari seluruh dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sungguhpun galeria ini dibina dengan cantik bagi menempatkan artifak-artifak yang kaya dengan sejarah, sayangnya ia tidak dipamerkan dengan cara yang terbaik dan ini adalah peluang yang disia-siakan. Terdapat beberapa contoh artifak-artifak yang menarik dijumpai semasa penyelidikan kami:
  2. Arca The Bronze Bronco Buster yang diukir pada tahun 1800-an (Tarikh sebenar tidak dapat dikenal pasti).

Ianya diukir oleh Fredrik Remington di mana beliau kemudiannya dikenali ramai di Amerika Barat. Arca ini memberi penghormatan simbolik kepada para penjelajah dan inovator yang selalu cuba untuk terus memodenkan Amerika Barat. Arca ini diberikan kepada Tun M semasa beliau melawat Amerika Syarikat, walau bagaimanapun tarikhnya lawatannya tidak dapat dikenal pasti. Antara individu yang mengumpul hasil karya Bronco Buster adalah Presiden Theodor Roosevelt. Mesra dengan pangilan Tun M oleh warga Malaysia, beliau adalah seorang yang sentiasa berusaha meneroka inovasi dan ini mempunyai persamaan dengan Bronco Buster. Mungkinkah Tun M adalah Broco Malaysia? Mungkin.

  1. Sutera Laotian Geometrik.

Laos sangat terkenal dengan tekstilnya kerana seni tenunan adalah seni tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Motif Naga dalam hadiah yang diberi ini amatlah simbolik kerana naga adalah makhluk yang disayangi mengikut mitos Laos. Untuk makluman semua, Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pertama yang mengunjungi Laos dan bertemu dengan mantan Perdana Menteri, Tuan Yang Terutama Tuan Khamtay Siphandone pada 10 April 1994. Lebih penting lagi, Tun M memainkan peranan penting dalam menjadikan Laos anggota ASEAN.

  1. Pemberian The Flyer In The Bottle adalah cenderahati dari Langkawi

Diperbuat daripada kristal Langkawi yang terkenal, hadiah ini diberi kepada Tun Mahathir bagi menandakan peristiwa penting iaitu pelancaran Pelan Pembangunan pertama bagi membangunkan Industri Aero Angkasa di Malaysia pada tahun 1991. Hari ini, LIMA adalah salah satu pameran maritim dan udara terbesar di Asia Pasifik yang menumpukan kepada industri pertahanan dan menyokong industri awam.

Kepada barisan petugas kreatif di belakang takbir,

  1. Saya difahamkan program ini direalisasikan oleh barisan penyelidik, penulis, pereka grafik, jurugambar dan sejarawan untuk menjalankan tugas-tugas bercerita dan mendokumentasi 300 daripada 9,150 momento yang dipamerkan di Galeria Perdana Langkawi dengan kajian mendalam dan ketepatan – saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat!
  2. Seperti projek-projek yang lain, perjalanannya tidak selalu lancar. Saya bangga, kita tetap teguh dan komited untuk melengkapkan dokumen ini kerana kami percaya bahawa ia akan berfungsi sebagai sebuah platform untuk mendokumentasi pemimpin dan negarawan lain di rantau ini terutama semasa penggal pertama YABhg Tun sebagai Perdana Menteri Malaysia, selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah kebanggaan negara – sehingga dia dikurniakan banyak pemberian yang mencerminkan pencapaiannya sebagai pemimpin.
  3. Pada hakikatnya, banyak penghargaan dan peristiwa penting yang berkaitan dengan sejarah negara dikaitkan dengan artifak-artifak yang kini dipamerkan di Galeria Perdana Langkawi.
  4. Oleh kerana pengetahuan yang terhad dan kekurangan dokumentasi, kami berharap dokumen ini dapat berfungsi sebagai pemangkin usaha masa depan untuk memperkuat proses pendokumentasian objek-objek ini. Biarkan ini menjadi titik permulaan untuk dokumentasi yang lebih baik mengenai pemimpin kita dan sejarah negara.
  5. Dokumen ini juga menyajikan inisiatif untuk mengetengahkan dan memelihara warisan negara, sebagai sebilangan artifak yang telah diterima oleh Tun Dr. Mahathir untuk budaya dan warisan kita.
  6. Dokumentasi ini bukan sahaja memastikan bahawa budaya dan warisan negara kita tidak hilang dalam masa yang akan datang tetapi juga dapat menjadi rujukan bagi mereka yang mempelajari kepemimpinan. Dengan mengetahui kepentingan setiap item dan menyedari peristiwa, seseorang dapat memahami intipati yang menjadikan Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin berwawasan.
  7. Oleh yang demikian, bagi pihak Hasanah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ‘wira negara’ kita, Tun Dr Mahathir atas dedikasi dan sumbangan beliau yang tidak henti-henti kepada negara.

“Tun,
kami mengenang,
Setiap jasa yang telah disumbang,
Penuh tekad semangat juang.
Tun, kami hargai,

Pengorbanan tanpa belah bahagi
Meminjamkan belahan hati, buat kami.
Tun,
Doa kami tetap mengiringi,
Setulusnya rasa menghormati,
Semoga Allah sentiasa melindungi.”

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  • Akhir sekali, kesenian secara keseluruhan menyumbang sebanyak 2% kepada KDNK dalam 5 tahun yang lepas. Pada tahun 2016, menurut laporan CENDANA, industri budaya dan kreatif Kuala Lumpur sendiri menyumbang sebanyak RM11.2 bilion kepada negara ini. Terdapat begitu banyak potensi ekonomi kreatif yang masih belum dapat diterokai sepenuhnya. Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat, apa yang kita perlukan adalah dasar dan polisi serta sokongan kewangan yang lebih berstruktur untuk menjamin kelestarian bidang kreatif dan kesenian.
  • Sudah tentu, kesenian & warisan budaya kita bukanlah semata-mata jentera pertumbuhan ekonomi. Kesenian adalah inti dari identiti perbualan nasional, kerana ianya mampu menceritakan tentang siapa kita, bagaimana kita bekerja dan mengapa kita menghargai apa yang kita lakukan. Seni tempatan tidak berdasarkan pada bagaimana orang lain melihat kita tetapi bagaimana kita melihat diri kita sendiri.
  • Seni bukanlah semata-mata jentera pertumbuhan ekonomi, ia adalah jiwa buat sesebuah negara, kami berharap dengan mengaktifkan inisiatif penting ini akan memperoleh sokongan lebih lanjut dari pihak berkepentingan dan korporat Malaysia yang relevan untuk mendalami penyelidikan ini.
  • Di Yayasan Hasanah, kami ingin seni dihayati oleh semua orang. Sehingga kini, usaha kami telah membolehkan lebih daripada 60,000 rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam pelbagai pertunjukan, tayangan dan pameran.
  • Yayasan Hasanah sebagai sebuah Yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad, akan terus melabur dalam pemelastarian dan pemuliharaan  warisan seni dan budaya. Kami akan tetap menjadi penyokong kepada kepimpinan yang transformatif dan teguh.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  • Saya akhiri ucapan saya dengan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang kami untuk menjadi sebahagian daripada acara bersejarah ini.
  • Jauh kota di Kampung Kilim, Lagkawi

Indah sungguh cendrawasih.

Cukup sekian dari saya,

Untuk perhatiannya, terima kasih.